Wednesday, September 29, 2021

Karangan PT3: Kemahiran-kemahiran yang perlu pelajar miliki

Negara ini sedang mengalami masalah dalam melahirkan pelajar yang berkualiti.


Jelaskan kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh pelajar dalam menghadapi kehidupan ini.


Kemahiran pelajar dimaksudkan sebagai kebolehan seseorang dalam menguruskan kehidupannya menjadi lebih mudah. Perkara ini penting dikuasai kerana pelajar akan mengalami cabaran hidup yang lebih hebat apabila menempuh kehidupan alam dewasa dan kerjaya. Jadi, apakah kemahiran yang diperlukan oleh pelajar itu untuk memudahkannya mengharungi era moden ini?


Kebolehan utama yang harus dimiliki oleh pelajar ialah mereka mahir dalam berkomunikasi dengan individu lain. Pelajar yang ada kemahiran ini boleh berinteraksi dengan sesiapa sahaja dalam meluahkan perasaan mereka secara jelas tanpa sebarang sekatan. Sebenarnya, pelajar yang mahir dalam pelbagai teknik komunikasi sesama manusia boleh menyesuaikan diri dengan kehidupan masyarakat pada masa depan.


Selain itu, pelajar harus memahami teknologi maklumat dan komunikasi moden untuk berjaya dalam hidup mereka. Semua bidang kerjaya pada masa depan memerlukan kemahiran dalam komputer yang tinggi kerana ekonomi masa depan begitu pantas bergerak atau berubah. Ringkasnya, pelajar yang bijak akan memahirkan diri dalam teknologi maklumat dan komunikasi untuk memudahkandiri mereka mencari pekerjaan yang baik pada masa depan.


Tambahan pula, kemahiran insaniah turut diperlukan oleh pelajar untuk menempuh alam kehidupan globalisasi ini.  Banyak pelajar yang masih mentah atau rapuh jiwanya alan mudah terpengaruh dengan kehidupan moden seperti penagihan dadah, isu mat rempit dan jenayah gara-gara kemahiran insaniah mereka rendah. Maka, pelajar yang tinggi kemahiran insaniah akan mampu menepis semua godaan dunia yang boleh membawa kehancuran kepada hidup mereka.


Kemahiran yang terakhir melibatkan kemahiran menyelesaikan masalah. Semua pelajar akan mengalami masalah di rumah, di sekolah, dan di luar rumah yang memerlukan kemahiran mereka untuk menyelesaikannya secara baik. Sesungguhnya, pelajar yang boleh menyelesaikan kemelut sendiri akan hidup dalam keadaan tenang dan bahagia kerana mereka menyelesaikan cabaran hidup berdasarkan kemampuan sendiri.


Kesimpulannya, semua kemahiran tadi penting dimiliki oleh pelajar kita. Namun, ada pelajar yang masih enggan mengakui keperluan kemahiran ini lalu bergantung harap kepada ibu bapa sahaja. Peribahasa tepuk dada tanya selera yang membuktikan bahawa pelajar perlu tahu kelemahan dan kelebihan diri mereka lalu membuat perubahan yang perlu jika mereka mahu menjalani kehidupan ini dengan baik.

No comments:

Artikel Pilihan

Cara-cara murid menjaga kebersihan diri