Pengguna terlalu mengutamakan produk keluaran negara luar. Akibatnya produk tempatan tidak mendapat sambutan yang baik.
Jelaskan sebab-sebab produk tempatan tidak diutamakan oleh pengguna tempatan.
Barang tempatan dilihat sebagai produk yang dikeluarkan oleh sesebuah negara untuk kegunaan sendiri atau dieksport. Antara produk tempatan yang terkenal meliputi jenama kereta Proton dan Perodua serta telefon bimbit CSL itu. Namun, ada rakyat negara ini yang masih enggan membeli produk tempatan kerana pelbagai sebab.
Faktor utama yang menyebabkan rakyat kita tidak menerima produk tempatan dikaitkan dengan isu kualiti produk tersebut. Banyak laporan mengatakan bahawa produk tempatan tidak tahan lama dan mudah rosak apabila digunakan dengan kerap. Ringkasnya, keyakinan masyarakat kita terhadap barang tempatan tidak kukuh lalu mereka tidak berani membelinya.
Selain itu, kajian juga membuktikan bahawa keengganan pembeli membeli barang tempatan disebabkan ketiadaan tarikan produk itu. Pembeli tempatan lebih suka produk luar yang ada reka bentuk unik dan berjenama terkenal apabila membeli-belah itu. Maka, produk tempatan yang tidak terkenal dan tiada reka bentuk menarik sering disisihkan oleh pembeli negara ini.
Tambahan pula, ketidaktahuan tentang sesuatu produk tempatan juga dikatakan menjadi punca pembelian produk sebegini kurang dalam masyarakat kita. Kekurangan aspek promosi seperti iklan di media massa menjadikan penduduk negara ini tidak mengenali sesuatu barang yang dihasilkan dalam negara itu. Lantaran itu, produk tempatan tidak diketahui oleh pembeli sehingga mereka tidak berhasrat untuk membelinya pula.
Kadar harga produk tempatan dilihat tidak berpatutan sehingga penduduk negara ini tidak berminat membelinya. Zaman ini menyaksikan pengguna bijak membandingkan harga dan kelebihan yang dimiliki oleh sesuatu produk sebelum mengambil keputusan untuk membelinya. Sesungguhnya, kadar harga masih menjadi penentu dalam proses pembelian seseorang pengguna itu.
Kesimpulannya, semua faktor tadi menjadikan masyarakat kita tidak berminat membeli produk tempatan. Semua pihak terutamanya masyarakat hendaklah berubah atau menukar cita rasa pembelian mereka ke arah mengutamakan produk sendiri. Bak kata pepatah tepuk dada tanya selera yang membuktikan setiap pengguna membeli berdasarkan keperluan hidup mereka.
No comments:
Post a Comment