Monday, July 05, 2021

Karangan SPM: Cara-cara mengekalkan permainan tradisional

Permainan tradisional semakin dilupakan oleh masyarakat terutama generasi muda.


Jelaskan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini.


Permainan tradisional merujuk permainan warisan lama yang diamalkan oleh nenek moyang kita. Antara contoh permainan ini ialah congkak, dam, gasing dan wau yang masih ada dimainkkan oleh masyarakat kita. Cuma permainan ini mula terpinggir dalam hati remaja terutama yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Jadi, ada banyak tindakan yang boleh dijalankan untuk menangani kemelut ini daripada terus menular.


Langkah yang pertama ialah kerajaan mengadakan pertandingan permainaan tradisional. Kejohanan ini boleh dianjuran pada peringkat sekolah, daerah, negeri, dan kebangsaan dan diberi liputan meluas dalam media massa tempatan. Langkah ini berupaya untuk mencungkil bakat-bakat baru yang pada masa yang sama menggalakkan remaja meminati pula permainan ini. Oleh itu, kewujudan pertandingan boleh memastikan permainan tradisional ini terus wujud.


Selain itu, usaha menjadikan permainan ini lebih menarik dan mudah di bawa serta bersesuaian dengan minat remaja turut penting dalam menangani kemelut ini. Permainan tradisional harus diberi bentuk baru yang lebih menarik seperti warna, ringan dan mudah dimainkan. Remaja sering menganggap permainan tradisional sudah kolot dan sukar untuk dimainkan di tempat-tempat mereka berlibur. Jadi, reka bentuk baru permainan tradisional amat penting untuk memastikan permainan ini terus wujud.


Bukan sahaja mengadakan pertandingan dan mengubah permainan itu tetapi langkah mewajibkan permainan ini di sekolah turut mampu memupuk minat dalam jiwa remaja kita. Tindakan bijak ini memastikan semua pelajar di sekolah akan menyertai satu permainan tradisional sebagai aktiviti kokurikulum mereka. Lama-kelamaan perasaan minat dan menghargai permainan tradisional ini akan berjaya dipupuk dalam jiwa remaja kita pula. Oleh itu, tindakan mewajibkan permainan ini di sekolah berupaya mengekalkan kewujudan permainan ini pada sat masa yang panjang.


Malah, kerajaan juga perlu membina lebih banyak kemudahan sukan untuk permainan tradisional sebegini. Pembinaan kawasan padang dan gelanggang khas membolehkan lebih banyak rakyat negara ini turut melibatkan diri dalam permainan yang positif ini. Suasana yang meriah sebegini pasti memberikan impak positif kepada masyarakat lalu mereka melihat permainan ini sebagai sesuatu yang penting dalam kehidupan harian mereka kerana mudah untuk bertemu dengan sesiapa sahaja yang memainkan permainan tradisional ini pula. Sesungguhnya, lebih banyak kawasan khas permainan ini disediakan semakin luaslah minat masyarakat kita untuk memainkannya.


Konklusinya, semua langkah tadi memang mampu untuk memastikan permainan tradisional ini terus wujud dalam kehidupan masyarakat moden kita. Kerjasama semua pihak terutama masyarakat amat diperlukan dalam memastikan usaha ini mencapai kejayaannya. Kegagalan untuk memberikan kerjasama yang sewajarnya akan menyaksikan permainan lama ini akan terus berkubur lantaran cabaran permainan komputer yang serba canggih itu. Peribahasa “tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan” membuktikan betapa permainan tradisional ini sebahagian daripada budaya yang harus dikekalkan.


No comments:

Artikel Pilihan

Cara-cara murid menjaga kebersihan diri