Monday, July 12, 2021

Karangan PT3: Sebab perayaan dilupakan?

Sambutan perayaan di negara ini begitu banyak tetapi ada pihak yang tidak merayakannya.


Jelaskan sebab perayaan mula dilupakan oleh generasi muda.


Perayaan bolehlah dikatakan sebagai hari kebesaran yang disambut oleh masyarakat tertentu di negara ini saban tahun. Antara perayaan itu meliputi Hari Deepavali, Hari Natal, Tahun Baru Cina, dan Hari Raya Aidil Fitri yang disambut oleh rakyat Malaysia. Namun, sudah ada generasi muda yang melupakan sambutan perayaan ini atas beberapa sebab.


Punca utama perayaan dilupakan oleh masyarakat kita disebabkan oleh golongan ini tidak memahami erti sambutan perayaan tersebut. Mereka sudah tidak melihat perayaan sebagai sesuatu budaya yang harus dikekalkan dalam kehidupan ini. Akibatnya, perayaan tidak mendapat tempat dalam jiwa remaja kerana mereka sendiri tidak memahami maksud perayaan itu.


Selain itu, perayaan tidak diminati oleh golongan ini kerana terlalu banyak peraturan atau tradisi yang harus dipatuhi itu. Mereka tidak suka dikawal oleh peraturan tradisi yang dilihat sebagai ketinggalan zaman itu. Lantaran itu, remaja menganggap perayaan sebagai sesuatu yang mengongkong kehidupan harian mereka.


Tambahan pula, remaja tidak meminati perayaan kerana melihat amalan berkunjung ke rumah sanak saudara itu sebagai membazirkan masa. Biasanya perbualan antara keluarga ketika musim perayaan melibatkan prestasi peperiksaan remaja di sekolah yang dianggap topik membosankan remaja itu. Maka, remaja menolak perayaan kerana tidak suka ditanya pelbagai soalan mengenai persekolahan mereka itu.


Kesimpulannya, semua hujah tadi membuktikan bahawa perayaan sudah dilupakan oleh masyarakat kita terutama remaja. Perayaan harus disambut dengan meriah oleh masyarakat kita. Peribahasa tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas membuktikan bahawa perayaan merupakan budaya yang harus dikekalkan sepanjang masa.

No comments:

Artikel Pilihan

Cara-cara murid menjaga kebersihan diri