Wednesday, June 02, 2021

Karangan PT3: Kesan-kesan buruk kejadian pembuangan bayi di Malaysia

Kejadian pembuangan bayi di negara ini terus berlaku walaupun pelbagai pihak sudah melakukan pelbagai cara untuk mengawalnya.

Jelaskan kesan-kesan buruk yang timbul.


Isu pembuangan bayi telah menjadi satu kemelut duri dalam daging buat masyarakat kita. Gejala ini telah menyebabkan masyarakat kita berasa malu kerana teras utama budaya kita mengutamakan aspek kesopanan diri. Pihak media massa juga telah menggunakan masalah ini untuk mengkritik masyarakat kita secara tersirat. Jadi, apakah, impak yang dibawa oleh penularan budaya membuang bayi ini?


Kesan yang ketara ialah imej rakyat dan negara ini terjejas pada mata masyarakat terutama orang asing. Sejak dahulu, masyarakat kita begitu mengutamakan kesopanan terutama dalam aspek pendidikan remaja kita sehingga menjadi kaguman orang asing. Namun, kejadian pembuangan bayi yang semakin kerap berlaku ini telah menukar persepsi orang lain itu sehingga memalukan kita pula. Maka, kejadian buruk ini secara diam-diam telah menconteng arang ke muka masyarakat kita tanpa disedari itu.


Selain itu, sikap tidak bertanggungjawab ini boleh membawa dakwaan jenayah dikenakan kepada ahli masyarakat kita. Pihak polis telah berkali-kali memberi amaran bahawa ibu bapa yang melakukan gejala ini boleh didakwa di mahkamah apabila bayi mereka itu meninggal dunia. Sudah ada banyak kes pembuangan bayi terutama di kawasan sampah dan sunyi yang membawa kematian bayi tersebut walaupun ibu bapa mereka tidak mempunyai niat untuk membunuhnya atau mencederakannya. Ringkasnya, amalan buruk ini bukan sahaja keji tetapi boleh membawa wujudnya kes mahkamah pula yang boleh menjejaskan masa depan individu terbabit untuk satu tempoh yang panjang.


Tambahan pula, masa depan bayi itu turut terjejas dek tindakan ibubapanya yang tidak bertanggungjawab tersebut. Bayi yang dibiarkan bersendirian itu pastinya akan dihantar ke pusat kebajikan masyarakat dan hidup sebagai anak yatim piatu pula. Tanpa belaian kasih sayang dan didikan sempurna sudah pasti anak itu akan membesar sebagai insan yang bermasalah terutama daripada aspek emosinya. Lantaran itu, negara kita akan memiliki banyak remaja yang mempunyai masalah jiwa yang sukar untuk dikawal sehingga menimbulkan pelbagai kesan sampingan lain pula pada masa mendatang.


Kos perbelanjaan pihak berkuasa juga bertambah apabila gejala pembuangan bayi ini tidak dikawal dengan efektifnya. Kerajaan terpaksa memperuntukkan sejumlah wang yang banyak untuk memastikan urusan persatuan kebajikan berjalan dengan lancar. Semakin banyak penghuni rumah kebajikan ini semakin tinggilah kos yang diperlukan untuk mentadbirkannya dengan lancar itu. Jadi, kerajaan tidak akan mempunyai wang lebihan untuk menjalankan aktiviti pembangunan yang lain pula seperti menyediakan jalan raya yang baik dan sekolah yang lengkap peralatannya serta hospital yang moden.


Kesimpulannya, amalan pembuangan bayi ini membawa pelbagai impak yang negatif kepada masyarakat dan negara. Semua pihak terutamanya ibu bapa hendaklah lebih peka dalam urusan mendidik anak mereka itu. Kalau kita masih menuding jari tanpa mahu menerima kesilapan diri sudah pasti gejala ini tidak akan mampu diselesaikan dengan baik. Sudah sampai masanya kita sebagai ahli masyarakat Malaysia bekerjasama untuk membendung gejala pembuangan bayi ini dengan bersungguh-sungguh.

No comments:

Artikel Pilihan

Cara-cara murid menjaga kebersihan diri