Sunday, June 20, 2021

Karangan SPM: Faedah pertanian dimajukan di Malaysia

Industri pertanian telah mula mendapat perhatian golongan muda di negara ini terutama di Jawapan pedalaman. Namun banyak usaha perlu dibuat untuk memajukannya.


Huraikan faedah-faedahnya.


Pertanian sering dilihat sebagai satu aktiviti ekonomi yang boleh membawa banyak impak positif kepada negara. Kerajaan kita sendiri sudah mula menyedari kepentingan industri ini lalu berusaha untuk menarik lebih banyak rakyat Malaysia untuk turut menceburinya. Pelbagai pihak telah memberi komentar mereka tentang usaha kerajaan untuk memajukan sektor pertanian ini terutama menerusi media massa negara. Lantaran itu, pelbagai impak positif boleh wujud menerusi aktiviti pertanian yang turut membabitkan ternakan haiwan ini.


Faedah yang ketara ialah negara akan menerima pendapatan yang tinggi lagi stabil saban tahun. Masyarakat dunia sudah sedia maklum diketahui amat memerlukan makanan lalu menjadikan harga komoditi ini begitu tinggi terutama ketika bencana alam melanda pula. Pendapatan yang stabil menjadikan negara tidak akan mengalami masalah kemelesetan ekonomi yang boleh menjejaskan negara itu. Jadi, wang yang terhasil menerusi sektor ini berupaya untuk digunakan oleh negara dalam usaha memajukan pelbagai sektor yang lain pula.


Pada masa yang sama, perkembangan pesat sektor ini membuka lebih banyak peluang kerja baik kepada rakyat tempatan mahupun pekerja asing. Kawasan ladang dan ternak yang begitu luas itu pastinya memerlukan sumber manusia yang banyak untuk menguruskannya dengan efektif. Kewujudan peluang kerja yang luas turut menjamin masa depan pekerja terjamin kerana bukan sahaja gaji yang tinggi diberikan tetapi rakyat berpeluang untuk bertukar-tukar kerja dengan mudah. Ringkasnya, pertanian akan memastikan rakyat negara ini tidak menganggur pula.


Kita sedia maklum bahawa pembukaan kawasan ladang biasanya melibatkan kawasan pedalaman atau belum dimajukan. Situasi ini membawa tindakan kerajaan memajukan sistem pengangkutan dan perhubungan kerana kawasan ladang memerlukan kemudahan awam ini untuk memastikan hasil ladang dapat dikeluarkan dengan sistematik. Perkembangan sistem pengangkutan dan perhubungan ini pula sudah pasti akan dinikmati juga oleh rakyat sekitar kawasan pertanian itu. Sesungguhnya, pembangunan pesat akan berlaku di kawasan yang dimajukan sebagai kawasan pertanian utama negara itu.


Malahan, banyak pihak yakin sektor pertanian negara akan menjadi lebih moden jika bidang ini mendapat perhatian semua pihak. Lebih banyak kajian terhadap jenis tanaman, racun perosak, baja dan teknik penanaman akan dilaksanakan oleh penyelidik negara ini. Hasil kajian mereka ini kemudiannya akan digunakan oleh peladang untuk memajukan hasil ladang mereka pula. Jadi, kualiti pertanian negara akan menjadi lebih baik  dan setanding dengan hasil keluaran negara jiran yang lainnya itu.


Kesimpulannya, semua impak positif yang diutarakan tadi memang boleh dihasilkan menerusi sektor pertanian. Semua pihak hendaklah melihat sektor hijau ini sebagai berpotensi untuk dimajukan pula. Kita harus berusaha bersama-sama bak kata pepatah bagai aur dengan tebing supaya sektor ini mendapat perhatian dan pengiktirafan yang sewajarnya daripada rakyat serta negara. Kalau kita memajukan pertanian, negara ini akan terus bertambah maju pada masa hadapan pula.

No comments:

Artikel Pilihan

Cara-cara murid menjaga kebersihan diri