Sunday, January 17, 2021

PT3: Kepentingan remaja kepada negara

Remaja menjadi aset penting kepada negara kita.


Jelaskan kepentingan remaja kepada mana-mana negara.


Remaja sebagai aset negara dilihat satu penghargaan kerana remaja berpotensi besar dalam pembangunan negara ini. Contohnya, remaja yang kamil dalam kehidupan akan membangun negara, bangsa, dan keluarga serta diri sendiri. Maka, remaja memang memiliki banyak potensi dalam memajukan negara ini.


Kelebihan utama remaja terhadap negara ialah golongan ini boleh membentuk lapisan kepimpinan negara pada masa depan. Semua pihak melihat usia remaja yang masih muda itu boleh dibentuk untuk menjadi pemimpin yang berkaliber kelak menerusi pelbagai asuhan sosial. Lantaran itu, semakin banyak remaja semakin besarlah peluang negara ini untuk mempunyai barisan pemimpin yang berketerampilan pula.


Selain itu, negara melihat remaja ini sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi yang pesat. Pelabur asing melihat negara yang memiliki populasi remaja yang tinggi itu sebagai peluang cerah buat ekonomi untuk berkembang pula. Sesungguhnya, remaja yang banyak itu memudahkan sektor ekonomi negara kita mempunyai sumber manusia yang cekap.


Tambahan pula, benteng pertahanan negara akan menjadi lebih kukuh menerusi pembabitan golongan belia ini. Remaja yang berfikiran matang akan menyertai bidang ketenteraan dan kepolisian untuk memastikan negara ini terus selamat daripada ancaman anasir-anasir luar yang berniat jahat. Jelaslah, keselamatan negara menjadi lebih terjamin apabila remaja kita menyertai perkhidmatan sebegini.


Akhir sekali, remaja juga berupaya untuk meningkatkan kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi dalam kehidupan harian masyarakat. Bidang ilmu pengetahuan sering berubah lalu memerlukan remaja yang memiliki kemahiran berfikir dan kebolehan menguasai ilmu baru tersebut terutama perubahan teknologi komunikasi. Oleh itu, remaja menjadi penentu dalam kemajuan ilmu pengetahuan dalam sesebuah masyarakat yang sedang menumu ke zaman kemodenan.


Kesimpulannya, semua kelebihan tadi memang wujud apabila remaja di negara ini menjalankan tugas mereka. Kerjasama semua pihak terutama remaja amat diperlukan supaya usia muda mereka dihabiskan demi kemajuan negara tercinta. Bak kata pepatah sekali air bah, sekali pantai berubah yang membuktikan bahawa remajalah yang akan membawa perubahan dalam kehidupan masyarakat zaman ini. 





No comments:

Artikel Pilihan

Peranan remaja menjadi warganegara berkualiti