Wednesday, December 09, 2020

SPM: Amalan ziarah yang hilang ditelan zaman

Amalan ziarah dalam kalangan masyarakat kita sudah mula hilang.

Berikan komen anda.

Ziarah merupakan amalan mengunjungi sanak- saudara dan jiran serta sahabat tanpa mengira masa. Sikap ini boleh mewujudkan rasa persaudaraan yang erat dan saling memahami sesama manusia itu. Media massa ada membuat komentar dalam ruang pojok akhbar mengenai amalan ziarah yang semakin menghilang ini.Sebenarnya, masalah yang melanda amalan ziarah ini semakin ketara ekoran kewujudan teknologi moden tetapi ada kebaikan yang turut timbul.

Punca utama ziarah semakin dipinggirkan oleh masyarakat kita dikaitkan dengan kecanggihan teknologi komunikasi era moden ini. Masyarakat melihat hubungan menerusi alat komunikasi seperti telefon bimbit dan komputer itu sudah cukup untuk berhubungan sesama mereka. Komunikasi ini tidak melibatkan sentuhan tetapi amat dipercayai oleh remaja zaman ini sehingga menjadikan kaedah ini alat perhubungan yang paling diminati. Jadi, teknologi komunikasi dilihat sudah cukup untuk berhubung lalu membiarkan sahaja amalan ziarah ini berkubur.

Selain itu, amalan ziarah ini turut pupus ditelan zaman kerana banyak program menarik disiarkan menerusi televisyen itu. Banyak orang terutama remaja yang menggunakan alasan tidak mahu keluar rumah menziarahi keluarga kerana ingin menonton program menarik di televisyen itu. Jadual hidup masyarakat seolah-olah ditentukan oleh program televisyen sehingga menjadikan ziarah tidak lagi sesuai dilakukan pada hujung minggu juga. Lantaran itu, masyarakat tidak lagi suka melawat rumah saudara dan jiran kerana lebih suka menonton program televisyen yang menarik itu.

Malah, ada sesetengah pihak yang menyalahkan teknologi kerana menyiarkan pelbagai maklumat yang boleh diperoleh menerusi amalan ziarah ini. Golongan masyarakat di negara ini boleh mendapatkan pelbagai informasi menerusi internet dan saluran teknologi lain dengan mudah. Ziarah digunakan juga sebagai kaedah untuk memperoleh pelbagai maklumat suatu masa dahulu oleh masyarakat kita. Jelaslah, kemajuan sebagai cara yang paling mudah untuk memperoleh sesuatu informasi sehingga menghilangkan amalan ziarah yang murni itu.

Amalan ziarah ini boleh dihidupkan semula menerusi usaha menjalankan kempen yang efektif oleh pihak berkuasa. Kempen ini boleh disiarkan menerusi teknologi yang moden itu terutama melalui saluran internet dan televisyen serta radio. Tindakan ini boleh menyedarkan masyarakat terutama remaja tentang kebaikan yang diperoleh melalui tindakan mengamalkan amalan ziarah tersebut. Sesungguhnya, ziarah akan dapat dihidupkan semula sebaik sahaja kempen yang betul dilancarkan segera oleh pihak berkenaan di negara ini.

Pada masa yang sama, masyarakat boleh menggunakan teknologi ini untuk berbincang tentang aktiviti yang boleh memajukan diri mereka. Penggunaan teknologi komunikasi seperti SKYPE dan FACETIME boleh menjadikan diskusi lebih menarik dan bersemuka antara ahli masyarakat di negara ini. Teknologi moden boleh menjadikan ziarah satu konsep baru yang bersesuaian dengan perubahan zaman seperti kata orang tua-tua sekali air bah sekali pantai berubah. Maka, teknologi yang dilihat memusnahkan amalan ziarah itu turut boleh diaplikasikan untuk memodenkan wajah ziarah mengikut perubahan zaman.


Konklusinya, semua hujah tadi membuktikan amalan ziarah penting dihidupkan terutama dalam situasi cabaran kemodenan ini. Semua pihak hendaklah bekerjasama untuk memupuk amalan ini dengan berusaha untuk menjayakannya tanpa banyak alasan lagi. Kegagalan untuk menghulurkan kerjasama ini pasti akan membawa budaya nenek moyang kita ini hilang ditelan zaman. Mungkin sudah sampai masanya kita berhenti daripada menuding jari dalam usaha mengatasi isu ini sebaliknya bersedia untuk membuat perubahan yang drastik itu.

No comments:

Artikel Pilihan

Karangan SPM: Punca-punca amalan kejiranan semakin dilupakan