Remaja pada zaman ini semakin kurang meluangkan masa untuk membantu ibu bapa di rumah terutama pada musim cuti sekolah.
Huraikan peranan keluarga bagi menangani masalah ini.
Sedarwarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat di negara ini tentang isu remaja yang tidak tahu meluangkan masa untuk membantu ibu bapa di rumah terutama ketika musim cuti tetapi lebih gemar menghabiskan masa di kafe siber atau melepak bersama-sama rakan di pelbagai lokasi. Remaja zaman ini begitu berbeza daripada remaja zaman dahulu yang melihat masa cuti sekolah ialah waktu meringankan beban ibu bapa. Pihak media massa telah menggunakan kelemahan remaja ini untuk menjadikan saluran mereka lebih diminati apabila menyiarkan kelemahan remaja itu saban hari. Sebenarnya, ibu bapa mempunyai tugas berat untuk memastikan remaja membantu mereka melakukan kerja-kerja rumah apabila cuti sekolah menjelang tiba.
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa perlu merancang pelbagai kegiatan untuk anak-anak mereka ketika musim cuti sekolah kerana golongan ini belum mampu berfikir secara matang. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ini meliputi amalan membersihkan rumah dan sebagainya yang boleh mengambil sebahagian besar masa remaja apabila mereka tidak ke sekolah itu. Aktiviti ini juga boleh disertai oleh ibu bapa lalu remaja akan berasa terangsang untuk melakukan perkara itu kerana sedar ibu bapa mereka sendiri melakukan perkara yang serupa. Lama-kelamaan, remaja tidak lagi perlu diingatkan tentang perkara yang perlu dilakukan oleh mereka ketika musim cuti sekolah bermula itu.
Bagi sesetengah ibu bapa pula mereka boleh mengambil cuti ketika anak mereka cuti sekolah untuk menghabiskan masa bersama-sama anak itu. Apabila melihat ibu bapa berada di rumah sudah pasti anak lebih teruja untuk melakukan sebarang kerja rumah yang disuruh oleh ibu bapa kerana mereka mahu ibu bapa berasa bangga dengan hasil kerja itu. Hubungan anak dengan ibu bapa turut menjadi lebih baik kerana mereka melakukan semua kerja rumah bersama-sama dalam suasana yang mesra. Sesungguhnya, ibu bapa yang prihatin akan memastikan diri mereka mengambil cuti sebaik sahaja anak mereka memulakan cuti sekolah tersebut.
Selain itu, ibu bapa boleh menghantar anak mereka balik ke kampung apabila cuti panjang sekolah bermula itu. Golongan muda ini boleh mengenali datuk dan nenek serta ahli keluarga yang lain kerana masa cuti yang panjang dihabiskan di kampung sahaja. Datuk dan nenek turut berupaya mendidik remaja ini erti kehidupan manusia yang sebenar terutama aspek kemanusiaan serta persaudaraan yang penting dalam kehidupan ini. Jelaslah, remaja yang menghabiskan masanya di kampung ketika cuti sekolah akan menjadi insan yang lebih memahami erti kehidupan sebenar di dunia ini.
Tambahan pula, ibu bapa yang berpandangan jauh boleh mengamanahkan kerja-kerja rumah kepada anak mereka ketika cuti sekolah. Kerja ini meliputi aktiviti yang ada kaitan dengan teknologi maklumat seperti komputer, telefon bimbit dan sebagainya kerana golongan muda lebih mahir untuk mengendalikan teknologi sebegini berbanding orang tua mereka. Apabila diberi amanah sebegini sudah pasti remaja itu berasa diri mereka mempunyai sesuatu yang boleh disumbangkan untuk kesejahteraan kehidupan keluarga mereka. Lama-kelamaan, remaja itu akan memiliki rasa jati diri yang positif kerana sedar mereka memiliki sesuatu kelebihan atau kemahiran yang berguna pada masa depan.
Ibu bapa yang peka dengan keperluan anak mereka akan menyusun pelbagai program untuk diikuti oleh anak ketika cuti sekolah. Mereka boleh diminta menghadiri kelas tentang pengurusan rumah tangga, menjahit, memasak, dan sebagainya yang boleh memberikan anak mereka satu kelebihan setelah meninggalkan alam persekolahan kelak. Semua kemahiran yang dipelajari ketika cuti sekolah boleh memberikan satu idea kepada remaja tentang kerjaya yang bakal diceburi oleh mereka pada masa depan. Maka, remaja yang menyertai pelbagai kursus ketika cuti sekolah akan mempunyai satu kelebihan berbanding remaja yang menghabiskan cuti mereka tanpa sebarang aktiviti itu.
Kesimpulannya, ibu bapa hendaklah berusaha menjadikan cuti sekolah anak mereka lebih bernilai dengan menyusun pelbagai aktiviti menarik. Jika mereka gagal melakukan perkara ini sudah pasti anak mereka tidak akan mempelajari apa-apa perkara yang berguna dalam kehidupan kelak. Remaja perlulah memberi peluang kepada ibu bapa dan tidak menolak sebarang arahan ibu bapa mereka apabila diminta melakukan kerja-kerja di rumah. Peribahasa bagai menatang minyak yang penuh membuktikan tugas ibu bapa dalam mendidik anak pada zaman ini begitu rumit tetapi perlu dilakukan dengan penuh kasih sayang.
No comments:
Post a Comment