Isu pemanasan global sudah menjadi topik hangat dalam perbualan masyarakat di negara ini.
Huraikan punca-punca perkara ini berlaku.
Pemanasan global bermaksud cuaca yang dialami oleh bumi berubah-ubah terutamanya tahap kepanasan yang diterima. Perkara ini boleh dibuktikan apabila banyak negara di dunia ini mengalami banjir kilat, kemarau yang panjang dan kecairan ais di kawasan kutub itu. Sebenarnya, ada banyak faktor yang mendorong pemanasan global ini berlaku pada masa sekarang.
Punca utama pemanasan global berlaku dikaitkan dengan fenomena penebangan kawasan hutan. Saintis berpendapat hutan berfungsi sebagai pengawal suhu bumi secara semula jadi lalu penebangan hutan akan menghapuskan fungsi itu. Lama-kelamaan, bumi menjadi panas kerana hutan telah digondolkan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab itu.
Selain itu, penggunaan pendingin hawa yang keterlaluan turut dikatakan menjadi punca pemanasan global ini. Kajian mengesahkan bahawa sisa gas yang dihasilkan menerusi penggunaan pendingin hawa ini yang mampu memusnahkan lapisan ozon bumi kita itu. Jelaslah, sikap manusia yang keterlaluan dalam menggunakan alat pendingin hawa itu telah memusnahkan bumi ini.
Tambahan pula, pengeluaran asap kenderaan oleh masyarakat dunia telah menjadikan kemelut pemanasan global ini sesuatu yang sukar diatasi. Setiap tahun berjuta-juta kenderaan di seluruh dunia menghasilkan gas karbon dioksida yang membawa peningkatan suhu yang menjejaskan kualiti lapisan ozon bumi. Akibatnya, dunia terus mengalami kepanasan melampau ini apabila jumlah kenderaan bertambah setiap tahun.
Faktor terakhir yang membawa kepanasan ini dikaitkan dengan amalan perancangan pembangunan yang tidak terkawal. Apabila pembangunan tidak dirancang sudah pasti banyak kawasan semula jadi akan musnah sehingga membawa bumi itu mengalami kepanasan yang melampau. Maka, pembangunan yang tidak terancang menjadi punca berlakunya pemanasan global ini.
Kesimpulannya, semua faktor tadi telah menyebabkan bumi ini mengalami fenomena kepanasan yang keterlaluan sehingga menimbulkan pelbagai masalah. Namun, masih ada pihak yang menolak dakwaan bahawa bumi ini semakin panas kerana mereka enggan bertindak menyelamatkannya. Peribahasa sediakan payung sebelum hujan harus menjadi peringatan kepada kita semua supaya segera bertindak sebelum bumi ini musnah di depan mata kita.
No comments:
Post a Comment